Hati tertanya, terhenti apakah itu?
Pastinya terhenti daripada menikmati kenikmatan kehidupan. Terhenti daripada menambah amal atau harta, terhenti daripada mencipta ilusi demi ilusi kehidupan.
Hati bertanya lagi, akan segarkah pepohonan bahagia yang disemai.?
Jika tidak, hati tertanya lagi,
Baja ataukah racun yang ditabur pada pepohonan bahagia tersebut?
Sehingga tiada kehijauan syurgawi. Tiada merasai ranumnya buah kasturi. Tiada terhidu wanginya haruman kasturi.
Sebaliknya… Sebaliknya apa!!?? Gertak hati. Kaku. Seolah olah semakin mengerti. Rupanya pepohonan bahagia yang diharapkan rupanya pepohonan berduri derita. Rupanya, taburan baja bukanlah baja. Tetapi racun. Pohon tumbuh tetapi berpenyakit. Ah, tertipu sudah hati oleh kerana dunia. Lupa bahawa ilusi tetap ilusi. Barulah terasa pahitnya zaqqum dan hanyirnya darah. MasyaAllah. Kalam Allah mengingatkan hamba-Nya di dalam Surah Al-A’raf ayat 34 :
…apabila telah datang ajal mereka, sekali-kali mereka tidak dapat menunda atau menyegerakan walau sesaat pun. (Al-A’raf :34)
Dan datanglah sakaratul maut dengan sebenar-benarnya,,,(Qaf : 19)
Ilmu, Iman & Taqwa
Perangkap syaitan hanya boleh di atasi dengan kombinasi iman dan taqwa. Kehebatan syaitan di dalam merangka strategi menyesatkan manusia sangat ditakuti oleh ahli ibadah. Tetapi tidak bagi yang memiliki kombinasi iman dan taqwa. Iman dan taqwa didapati daripada ilmu. Maka ilmu yang disemai akan menghasilkan buah iman dan taqwa. Ahli Ibadah atau Abid ini di ibarat seorang pejuang mujahidin di medan perang yang sangat sengit dan mencabar tetapi berperang tanpa senjata. sebaliknya Ahli ilmu pula ibarat seorang pejuang mujahidin yang memiliki senjata iman dan taqwa. Siapakah paling diyakini untuk menang menentang syaitan laknatullah? Ahli abid atau ahli ilmu? Tentulah yang bersenjata. Syaitan menipu abid dengan senjatanya iaitu segala yang boleh mengkhayal atau melekakan manusia; ianya ialah Kenikmatan dunia! itulah senjatanya. Oleh sebab itulah Allah swt mengingatkan manusia :
“Dan tiadalah kehidupan dunia ini melainkan senda gurau dan main-main. Dan sesungguhnya akhirat itulah yang sebenarnya kehidupan, kalau mereka mengetahui.” (Al-Ankabuut:64)
Usahlah tertipu dengan kenikmatan dunia. Manusia disuruh untuk menikmati nikmatnya dunia tetapi jangan sampai terhanyut oleh buaian ombak dunia. Malah diseru agar setia pada tauhid dan memelihara syariatnya.
Semoga, kita dihindari daripada termasuk di dalam golongan orang yang lupa kepada Allah swt.
Lumrahnya,
Manusia seringkala lupa,
Pada pegangan janji setia,
Ketika belum membuka mata,
Ketika belum mengenal benda,
Janji dikota setia pada yang Esa,
Namun lupa pabila berada di dunia,
Apabila harta dunia mengaburi mata
Halal haram disapu semata,
Pangkat dan jawatan yang dipinta,
Memenuhi perut diri sendiri saja,
Tidak ingatkah atau terlupa,
Dunia ini persinggahan sahaja,
Menanti ajal menjemput kita,
Entah bila masanya tiba,
Apabila mata layu tidak berdaya,
Mulut pun kunci tidak mampu berkata,
mulalah ingat pada yang Esa,
Hendak beramal badan tak berdaya,
Mungkin sudah sampainya masa,
Ajalnya menjemput ke alam baqa,
Harta, anak, isteri sudah tiada,
hanya amalan yang dibawa,
Sesungguhnya manusia mudah lupa!
0 comments:
Post a Comment