Thursday, May 24, 2012

Iman yang lemah?

by fathi ridhuan

Bismillahi walhamdulillah…

Iman fitrahnya menaik dan menurun, bertambah dan berkurang, kuat dan lemah. Tetapi, jika ia menurun, berkurang dan lemah maka jagalah diri dan hati agar tidak melakukan perkara-perkara yang haram. Jauhilah diri dan hati dari perkara-perkara yang Dia haramkan. Itulah kadar iman yang paling lemah.

Tidak dapat tidak, kita mesti menguatkannya kembali. Merawatnya dengan segera. Ia (iman) adalah sumber utama dalam hidup kita. Tanpa ia, tiada kegembiraan, tiada kelapangan, tiada kesenangan, tiada ketenangan, tiada kekuatan dan tiada kemudahan yang kita rasai dalam hidup.

“Jika kamu ingin memperbaharui hubunganmu dengan Allah, maka perbaharuilah taubatmu”. ~Al-Imam As-Syahid Hasan Al-Banna…

Iman lemah bermakna hubungan kita dengan Allah juga lemah. Mahu kembali dekat denganNya? Mulakanlah dengan taubat. Taubat yang sebenar-benarnya kepadaNya. Dan ikutilah ia dengan melaksanakan perintahNya (yang wajib juga yang sunat) dan meninggalkan apa yang dilarangNya.

Kita adalah manusia bukan malaikat. Iman kita juga menaik dan menurun, bertambah dan berkurang. Janganlah kita putus asa dari rahmat dan keampunanNya. Andai jatuh, bangunlah kembali. Jatuh lagi, bangunlah lagi. Jatuh lagi, bangunlah lagi. Jangan pernah berhenti. Sebanyak mana kita jatuh, sebanyak itulah kita bangkit kembali. Kata abang Hilal Asyraf, “Allah tidak lihat berapa kali kamu jatuh, tetapi Dia nak lihat berapa kali kamu bangkit”.

“Daripada Anas r.a katanya: “Aku mendengar Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Allah subhanahu wata’ala telah berfirman: “Wahai anak Adam! Sesungguhnya selagimana kamu meminta dan berharap kepadaKu, maka Aku akan mengampuni segala dosa yang telah kamu lakukan dan Aku tidak pedulikannya lagi. Wahai anak Adam! Sekiranya dosamu setinggi langit, kemudian kamu memohon ampun kepadaKu, nescaya Aku mengampuni dosamu. Wahai anak Adam! Jika kamu datang kepadaKu dengan kesalahan sepadat isi bumi, kemudian kamu menemuiKu di akhirat dalam keadaan kamu tidak menyekutukan Aku dengan yang lain, nescaya Aku datang kepadamu dengan keampunan sepenuh bumi pula”. ~diriwayatkan oleh Tirmizi dan beliau berkata: Ini adalah hadis hasan sahih.

Subhanallah, sesungguhnya keampunan dan rahmat Allah lebih besar dan luas dari kemurkaanNya. Mengapa kita masih ingin berputus asa dari rahmat dan keampunanNya. Andai dihitung semua amalan kebaikan kita, nescaya tidak mampu untuk kita menempah syurgaNya di akhirat kelak. Mengapa? Amalan-amalan yang kita lakukan (amalan soleh), semuanya dilakukan dengan menggunakan nikmat yang diberiNya. Tidak ada satu pun milik kita.

“Dan bersegeralah kamu mencari ampunan dari Tuhanmu dan mendapatkan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa. Iaitu orang yang berinfaq baik di waktu lapang mahupun sempit dan orang-orang menahan kemarahan amarahnya dan memaafkan kesalahan orang lain. Dan Allah mencintai orang-orang yang berbuat kebaikan. Dan juga orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menzalimi diri sendiri, segera mengingat Allah, lalu memohon ampunan atas dosa-dosanya dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa-dosa selain Allah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan dosa itu sedang mereka mengetahui. Balasan bagi mereka ialah ampunan dari Tuhan mereka dan syurga-syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Dan itulah sebaik-baik pahala bagi orang-orang yang beramal”. ~surah Ali-‘Imran: 133-136

Allah mengajak kita untuk kembali kepadaNya. Disediakan seluas-luasnya keampunan dan rahmatNya untuk kita. Menyediakan sebesar-besar ganjaran buat kita. Tidak mahukah lagi kita pada apa yang Dia tawarkan itu??? Dia tidak sama dengan makhluk-makhlukNya. Dia berbeza amat dengan ciptaanNya. Dia Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Rebutlah keampunanNya selagi masih diberi peluang. Selagi nyawa dipanjangkan.

Ayuh kita perbaharui hubungan kita dengan Allah. Mulakan dengan taubat. Dengan taubat yang sebenar-benarnya. Selagi masih ada kehidupan, selagi itu kita mesti terus berusaha. Kehidupan adalah peluang untuk kita berusaha. Peluang yang diberikan untuk menjernihkan kembali hubungan denganNya, menambah bekalan dalam perjalanan menujuNya.

p/s: saya masih lemah. Penuh dengan kekurangan. Tetapi, adakah saya mahu terus dalam kelemahan ini? Sesungguhnya saya tidak menjumpai kegembiraan, kemudahan, kekuatan, ketenangan, kesenangan dan kelapangan melainkan dengan iman. Kecuali dengan iman, yang menjadi penggerak dalam hidup saya. Kecuali saya dalam pimpinanNya. Ketahuilah IMAN itu adalah fitrah dalam hati semua manusia. Ajakan ini adalah khusus untuk diri ini dan umumnya untuk yang membacanya. Saya mengajak diri saya terutama dan kalian untuk sama-sama mencari kenikmatan dunia dengan iman. Tidak ada melainkan dengan ia dan mulakanlah langkah dengan memperbaharui taubat kepadaNya. Saya tidak sempurna. Kadang-kadang lemah. Angkatlah saya tika itu. Kadang-kadang kuat. Pimpinlah saya tika itu. Kalian cermin saya.

1 comments:

Sama-samalh kita menguatkan iman kita.. Semoga Allah membuka ruang & jalan untuk kita menjadi ahli syurga kelak.. amiinn.. ilmu yang menyentuh hati & perasaan sy.. tima kasih..