Friday, June 10, 2011

Mungkin malam ini yang terakhir..



Mungkin malam ini yang terakhir..

Dia bersimpuh sambil menundukkan kepalanya serendah-rendahnya. Kehinaan diri terasa bagai sudah tidak mampu disembunyikan lagi. Dia menangis semahu-mahunya. Sungguh malu dengan dosa-dosa yang mengotori dinding-dinding hatinya. Terasa bagai ada batu yang menyekat kerongkongannya. Tidak terlafaz walau sebutir bicara kerana beratnya terasa dosa yang membebani dada. Dia cuba mengangkat wajahnya untuk menghadap Tuhannya, yang tidak terlihat olehnya, yang amat dia cintai dan dambakan pertemuan denganNya. Tetapi dia terlalu malu. Terlalu malu.


Terkenang olehnya, saat-saat dia begitu jauh dengan Allah. Al Quran semakin ditinggalkan. Jarang-jarang dia meluangkan masa untuk menghayati kalimah-kalimah Tuhannya. Dia teringat saat dia meninggalkan zikir-zikir harian kerana kemalasan yang menyelubungi diri. Dia teringat solat-solatnya yang tidak khusyuk, dibuat dengan bermalas-malasan, sekadar buat tetapi tidak bersungguh-sungguh. Dia teringat waktu-waktu dia berfikir berkali-kali sebelum menunaikan solat rawatibnya kerana terlalu malas dan lebih mementingkan urusan dunia. Dia teringat saat dia menyampaikan tazkirah dan pengisian-pengisian kepada pemuda-pemuda ikhlas disampingnya, tetapi di belakang mereka, dia malas-malas sahaja. Astaghfirullah… Astaghfirullah…

Dia menggagahkan diri menadah tangan walaupun hatinya terlalu malu untuk meminta dari Allah kerana terasa terlalu lama sudah dia menjauhkan diri dari Rabb yang sentiasa mencintainya dan mengingatinya sekalipun pada ketika dia melupakanNya.

Ya Allah, hambaMu ini terlalu jahat Ya Allah. Terlalu kotor Ya Allah. HambaMu ini hina dan zalim Ya Allah… Ya Allah, dosa-dosaku terlalu banyak. Aku tidak selalu mencintaiMu Ya Allah. Aku banyak melupakanMu. Aku terlalu banyak mempersiakan nikmatMu. Ya Allah, sungguh, tidak ada walau satu pun dosa-dosaku itu yang tertanggung olehku hukumannya Ya Allah. Tolonglah jangan membenci hambaMu ini. Tolonglah jangan tinggalkan aku seorang diri. Tolonglah jangan menghukum diriku atas kesilapan-kesilapan ini. Aku merayu padaMu Ya Allah, jangan hindari aku. Kepada siapa lagi ya Allah yang boleh aku merayu dan mengadu ya Allah kecuali padaMu… Ya Allah, janganlah Kau biar aku mengulangi kesalahan-kesalahanku.

Ya Allah, peliharalah hatiku. Sucikanlah ia dari dosa-dosa silam dan penyakit-penyakit hati sepertimana Kau sucikan bumi ini dengan air hujanMu. Ya Allah, terangi wajah dan hatiku dengan keimanan kepadaMu ya Allah sepertimana Kau terangi bumi ini dengan matahariMu. Ya Allah, pimpinlah tanganku ke jalanMu ya Allah sepertimana Kau pimpin kekasih-kekasihmu, wali-walimu, dan orang-orang beriman ke jalanMu Ya Allah.

Ya Allah… sesungguhnya aku bertaubat ya Allah. Sungguh, aku mengakui kesilapan-kesilapanku ya Allah. Ya Allah, ampunkan aku. “

Dan malam itu berlalu dengan penuh sendu dan linangan air mata. Terasa seolah-olah tidak mahu diangkat dahi yang rapat di sajadah, kerana basahnya hati pemuda itu dengan keinsafan dan ketenangan setelah dihamburkan seluruh isi hatinya pada satu-satunya Yang Maha Penyayang dan Maha Menerima Taubat hamba-hambaNya…

***

Rasulullah saw bersabda, yang bermaksud:

“Sungguh, Allah membentangkan tanganNya setiap malam agar orang yang berbuat kejelekan di siang hari mahu bertaubat. Dan Dia juga membentangkan tanganNya di siang hari agar orang yang berbuat kejelekan di malam hari mahu bertaubat.”

(Hadith riwayat Muslim dan Iman Ahmad)

0 comments: