Sunday, January 1, 2012

Kisah Tha'labah : Muhasabah Kepada Yang Sering Melihat Aurat Ajnabi



Tha'labah bin Abdul Rahman ialah salah seorang daripada sahabat Nabi SAW, seorang pemuda atau remaja hebat berusia 17 tahun yang punya misi dan visi yang sangat jelas dan mulia. Tiada satu pun yang mampu membuat matlamat hidupnya goyah sehinggalah beliau menghembuskan nafas yang terakhir.

Setelah memeluk islam, beliau sering mengikuti Rasulullah SAW mengajar. Jika Rasulullah SAW berhajatkan sesuatu, baginda akan khabarkan kepada Tha'labah dan Tha'labah akan menunaikannya.

Suatu hari Rasulullah SAW menyuruh Tha'labah mencari sesuatu untuk baginda. Ketika dalam pencarian barang yang Rasulullah hajati itu, Tha'labah telah melalui beberapa deretan buah rumah.

Entah bagaimana salah sebuah rumah yang dilaluinya itu, pintu belakang rumahnya terbuka. Angin yang bertiup membuatkan pintu bilik air rumah tersebut turut sama terkuak lebar. Ketika itu Tha'labah dengan tidak sengaja terpandangkan kearah bilik air tersebut lalu terlihatlah akan dia seorang perempuan yang sedang mandi.

" A'uzubillah. Ya Allah aku takut nanti malaikat Jibril akan memberitahu kepada Rasulullah SAW ! Ya Allah, aku takut turunnya ayat quran yang memasukkan aku dalam golongan orang yang berbuat dosa ! Ya Allah.."

Dia merintih sehingga dia terlupa akan barang yang dipesan oleh Rasulullah SAW. Dia melarikan diri dan tejumpa satu bukit di pinggir Madinah yang dipuncaknya ada sebuah gua. Tha'labah masuk ke dalam gua dan menangis berterusan.

Tha'labah menangis dan terus menangis. Alangkah kesalnya beliau akan dosa yang telah dilakukannya. Walhal apa yang terjadi hanyalah perkara yang tidak disengajakannya.

Pada masa yang sama, Rasulullah SAW menantikan kepulangan Tha'labah. sudah beberapa hari berlalu namun Tha'labah tidak kunjung tiba. Lalu Rasulullah mengarahkan Saidina Umar AlKhattab untuk mencari Tha'labah.

Akhirnya Tha'labah ditemui oleh Saidina Umar di tempat persembunyiannya di gua tersebut.
" Tha'labah. Rasulullah mahu berjumpa kamu " Umar menyeru.
" Kenapa ? Sudah turunkah ayat Al Quran tentang dosaku ? Sudah beritahukah Jibril kepada Rasulullah ? Aku tidak mahu masuk neraka." Kata Tha'labah dalam ketakutan yang amat sangat.

Oleh kerana Tha'labah sudah teramat lemah, lalu Saidina Umar memimpinnya pulang ke rumah. Apabila Rasulullah SAW menziarahi Tha'labah, Tha'labah sedang terlentang lalu Rasulullah SAW meriba kepala Tha'labah. Tetapi Tha'labah mengetepikan kepalanya. Maka Rasulullah bertanya " Kenapa wahai Tha'labah ?".
"Wahai Rasulullah, kepala yang penuh dosa ini tidak layak untuk berada di ribamu," Kata Tha'labah dengan linangan air mata.

"Apa yang kamu mahu Tha'labah ?"

" Aku mahukan keampunan Allah."

" Apa cita-citamu wahai Tha'labah ?"

" cita-cita aku hanya syurga Allah. Tolonglah doakan moga Allah mengampunkan dosa-dosaku Ya Rasulullah."

Lalu Rasulullah SAW berkata, "Wahai Tha'labah aku menjamin kepadamu apa yang kau inginkan. Inilah bukti taubatmu ."

Tidak lama selepas itu Tha'labah menghembuskan nafasnya yang terakhir di riba Rasulullah SAW.

Ketika mayat Tha'labah siap dikafan dan tiba masa untuk dikebumikan, Rasulullah pun datang tetapi agak lewat. Para sahabat membuka jalan kepada Rasulullah untuk rapat ke kubur Tha'labah. Sungguhpun begitu, Rasulullah berjalan merapati kubur Tha'labah dengan perlahan dan tersekat-sekat.

Sahabat-sahabat bertanya, "Wahai Rasulullah, kami telah memberi laluan kepadamu, mengapa Rasulullah berjalan dengan tidak selesa ?"

Rasulullah menjawab " Kamu tidak dapat melihat betapa ramainya malaikat yang hadir menghantar Tha'labah ke kubur."

Itulah kisah hidup seorang remaja hebat bernama Tha'labah. Betapa takutnya beliau dengan azab Allah SWT walaupun beliau tidak sengaja terpandangkan perempuan yang sedang mandi. Beliau menjadi begitu malu bertemu Rasulullah, begitu mengharap keampunan Allah SWT, dan akhirnya menghembuskan nafas terakhir atas ribaan insan agung yang mulia Rasulullah SAW. Jasadnya diiringi ke kuburan oleh para malaikat yang datang berduyun-duyun. Subhanallah.

Bagi diri kita yang sentiasa terpandang aurat wanita (atau ajnabi) sengaja ataupun tidak, lebih2 lagi di ruangan maya ini, adakah ada rasa berdosa dalam jiwa kita ini ?? Ya Allah teramat hinanya kami jika dibandingkan dengan Tha'labah bin Abdul Rahman !! Hina dan amat hina...

0 comments: