Tuesday, April 19, 2011

Taubat Nasuha


Taubat nasuha ialah taubat yang murni di mana seseorang itu bertaubat daripada dosa yang dilakukannya dahulu atau sekarang. Mereka benar-benar menyesal dan berjanji untuk tidak mengulanginya lagi. Apa yang jelas sepanjang bulan Ramadan kita memohon keampunan Allah yang Maha Penyayang diikuti dengan amal soleh. Selain itu, kita juga dapat bermaaf-maafan dengan saudara seislam sepanjang menghadiri solat berjemaah di masjid dan surau.







Firman Allah SWT dalam surah at-Tahrim ayat 8:
Maksudnya: “Hai orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan Taubat Nasuha, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahanmu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, pada hari Allah tidak akan menghinakan Nabi dan orang yang beriman bersama-sama dengannya; cahaya mereka, bergerak cepat di hadapan mereka dan di sebelah kanan mereka; mereka berkata: Wahai Tuhan kami! Sempurnakanlah cahaya bagi kami dan ampunlah kami; sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.”

Berdasarkan ayat tadi, taubat nasuha adalah taubat yang benar dan bersungguh-sungguh. Oleh itu bagi memastikan taubat itu adalah nasuha, maka beberapa syarat hendaklah dipatuhi iaitu:

Pertama: Meninggalkan terus segala perkara maksiat sama ada kecil atau besar.

Kedua: Menyesal atas segala dosa yang lalu.

Ketiga: Bertekad untuk tidak mengulangi semula dosa-dosa tersebut.

Ketiga-tiga syarat tadi adalah bagi dosa kita dengan Allah SWT, tetapi bagi dosa kita sesama manusia pula di tambah syarat yang keempat iaitu wajib memohon kemaafan sebagai cara bertaubat. Sekiranya salah satu syarat ini tercicir, nescaya tidaklah dinamakan taubat nasuha. Bagi mengawal tanda aras taubat nasuha ini, sesetengah ulama ada mengatakan bahawa hendaklah ditambah syarat kelima iaitu ikhlas kerana Allah SWT barulah ia lebih sempurna.

0 comments: